JPJ jelas kegunaan uniform anggota ketika operasi penyamaran

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengambil maklum mengenai video yang tular berkaitan tiga orang anggota penguatkuasa JPJ tidak memakai uniform atau vest ketika melakukan operasi.

Hal yang demikian, jabatan berkenaan ingin mengesahkan bahawa ketiga-tiganya lelaki tersebut adalah pegawai penguatkuasa JPJ.

Sehubungan itu, JPJ telah melaksanakan Operasi Khas Hari Raya Aidil Fitri (HRA) 2024 bermula pada 1 April 2024 dan tamat pada 20 April 2024 bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terutama penumpang bas ekspres.

Sepanjang operasi tersebut dijalankan, JPJ telah menggunakan pelbagai kaedah termasuk melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya, pemeriksaan pemandu bas di terminal-terminal bas sebelum melaksanakan perjalanan dan pemantauan di lokasi-lokasi yang sering berlaku kemalangan.

Dalam pada itu, termasuk menggunakan teknologi dron, menyamar sebagai penumpang bas ekspres, penyamaran dengan menggunakan kenderaan tanpa lambang jabatan di samping bertindak atas aduan serta maklumat daripada orang ramai melalui sistem eAduan dalam aplikasi MyJPJ.

Pada 16 April 2024, video tular tersebut memaparkan tiga orang anggota penguatkuasa JPJ tanpa uniform atau vest sedang melakukan pemeriksaan dan menahan sebuah bas penumpang di Lebuhraya PLUS menghala ke Utara Nilai menggunakan kaedah penyamaran.

Pada masa yang sama, JPJ ingin menjelaskan bahawa pegawai penguatkuasa JPJ dibenarkan untuk tidak memakai uniform atau vest bagi tujuan penyamaran ketika melakukan operasi.

Walaubagaimanapun, pegawai yang bertugas perlu mengemukakan pengenalan diri (kad kuasa) yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah sekiranya diminta berbuat demikian.

Sebagai makluman, kedua-dua pihak telah membuat laporan polis dan kes tersebut sedang dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Semua pihak dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara tersebut dan memberi ruang kepada pihak PDRM untuk melakukan siasatan penuh.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/04/19/mcmc-raih-anugerah-wsis-perkasa-akses-ict-kepada-masyarakat-orang-asli

Anda Mungkin Berminat