JPJ Laksana 7,228 Audit Keselamatan Kenderaan Komersial

PARLIMEN | Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melaksanakan sebanyak 7,228 audit keselamatan terhadap pengendali kenderaan komersial di seluruh negara sehingga 30 September lalu.

Audit ini merupakan langkah berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan jalan raya.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, audit tersebut dilaksanakan di bawah program Audit Pemeriksaan dan Keselamatan JPJ (JISA), yang memfokuskan kepada pematuhan syarikat terhadap Kod Tata Amalan Industri (ICOP) dalam aspek keselamatan.

“Audit JISA menilai lima komponen utama iaitu pengurusan keselamatan, pengurusan kenderaan, pengurusan pemandu, pengurusan rekod dan pengurusan risiko,” katanya ketika menjawab soalan kepada Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau turut menjelaskan bahawa semua pengendali diwajibkan mematuhi tujuh keperluan mandatori di bawah ICOP. Ini termasuk pelantikan pegawai keselamatan, pemasangan GPS, pematuhan waktu pemanduan dan rehat, penyediaan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) serta talian hotline untuk aduan awam.

Setakat 30 April 2025, sebanyak 48,002 syarikat pengendali kenderaan perdagangan telah berdaftar dengan JPJ. Anthony menjelaskan bahawa jumlah ini jauh lebih rendah daripada angka 300,000 yang disebut dalam pertanyaan sebelum ini.

“Angka 300,000 itu mungkin berpunca daripada kekeliruan antara jumlah syarikat dengan bilangan kenderaan perdagangan berlesen, iaitu sebanyak 372,586 buah yang berada di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya.

Tambah beliau, audit keselamatan JISA merupakan antara strategi kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan melibatkan kenderaan berat, sejajar dengan usaha meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

JPJ juga sedang membangunkan sistem digital JISA yang dijangka siap menjelang 2027.

“Melalui sistem ini, pemantauan akan dilakukan secara masa nyata dengan integrasi data GPS, sekali gus mempercepat pengesanan ketidakpatuhan, meningkatkan kecekapan penguatkuasaan dan mengurangkan kerenah birokrasi,” ujarnya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat