PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan agensi itu menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang mengandungi pautan berkaitan lesen memandu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya menerima aduan mengenai mesej yang mengandungi pautan mencurigakan yang disyaki bertujuan memperdaya penerima.
“JPJ tidak pernah menghantar sebarang pautan berkaitan urusan lesen memandu melalui SMS kepada orang ramai.
“Kami telah mengenal pasti bahawa SMS tersebut menggunakan nama ‘MyJPJ’ dan dipercayai mengandungi pautan pishing untuk tujuan memperdaya orang awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang mesej mencurigakan yang menawarkan perkhidmatan berkaitan JPJ.
“Jangan klik pada sebarang pautan yang meragukan. Sebaiknya, orang ramai perlu merujuk terus kepada JPJ melalui saluran rasmi untuk mendapatkan maklumat yang sahih,” katanya.