JPJ nafi iklan palsu tawaran lesen memandu percuma di TikTok

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan kewujudan iklan di platform TikTok yang menawarkan lesen memandu percuma tanpa ujian atau latihan.

Agensi itu memaklumkan iklan berkenaan turut menggunakan nama dan gambar Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli, bagi mengaburi orang ramai dan menimbulkan keyakinan palsu.

“Iklan dan akaun yang menyebarkan tawaran ini adalah palsu sepenuhnya,” kata JPJ dalam kenyataan hari ini.

Jabatan itu turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah percaya dengan sebarang promosi yang menggunakan nama pegawai kanan kerajaan tanpa pengesahan rasmi.

“Orang ramai dinasihatkan merujuk atau menghubungi JPJ terlebih dahulu sebelum mempercayai iklan seumpama itu bagi mengelakkan kekeliruan atau kerugian,” jelas kenyataan itu lagi.

JPJ juga menggalakkan orang ramai membuat semakan terus di saluran rasmi jabatan, termasuk portal aduan rasmi bagi memastikan maklumat diterima adalah tepat dan sahih.

Sebarang laporan mengenai iklan mencurigakan boleh dikemukakan melalui Portal Aduan Rasmi JPJ di pautan https://jpj.spab.gov.my/.

Tindakan penipuan menggunakan identiti pegawai kanan bukan isu baharu, malah sebelum ini beberapa agensi kerajaan lain turut berdepan modus operandi sama bagi memperdaya masyarakat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat