JPJ Perkukuh Advokasi, Penguatkuasaan Jalan Raya Berteras Maqasid Syariah

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyatakan komitmen penuh terhadap amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan kepentingan dasar kerajaan dalam melindungi nyawa dan memberi manfaat kepada rakyat.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, setiap program advokasi dan penguatkuasaan undang-undang jalan raya akan terus diselaraskan dengan prinsip Maqasid Syariah.

“Usaha ini penting bagi memelihara nyawa dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan tanggungjawab agama serta nilai kemanusiaan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, antara langkah yang mencerminkan pendekatan tersebut ialah pelaksanaan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang dan pemandu bas, yang telah bermula sejak 1 Julai lalu.

Kata Aedy, JPJ turut melaksanakan pelbagai operasi khas seperti Ops Khas Motosikal, Pemandu Warga Asing (PEWA) dan Ops Khas Kenderaan Perdagangan sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya.

“Tindakan seperti penahan, kompaun atau sitaan kenderaan adalah bukti kesungguhan JPJ mengurangkan kadar kemalangan dan menjaga keselamatan pengguna jalan raya,” tambahnya.

Beliau berkata, pendekatan bersepadu antara advokasi dan penguatkuasaan akan terus diperluas bagi mengurangkan risiko kemalangan yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda.

Sejak penubuhannya, JPJ kekal sebagai agensi utama dalam memastikan pematuhan undang-undang jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, dengan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

Anda Mungkin Berminat