JPJ Sambut Baik Sokongan PM Terhadap Program RXZ Members 7.0

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyambut baik sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap penganjuran Program RXZ Members 7.0 yang bakal berlangsung tahun ini.

Ia sekali gus memperkukuh peranan komuniti permotoran dalam landskap sosial dan ekonomi negara.

Menurut JPJ, pengiktirafan tersebut mencerminkan nilai kebersamaan, semangat silaturahim dan sumbangan komuniti motosikal terhadap ekonomi setempat.

“Program berimpak tinggi ini bukan sahaja menghimpunkan peminat motosikal dari seluruh negara, bahkan menjadi platform strategik untuk mengangkat imej budaya permotoran ke tahap lebih positif,” kata kenyataan itu.

JPJ turut menyatakan komitmennya dalam aspek advokasi, pendidikan keselamatan jalan raya serta memudahkan pergerakan peserta sepanjang program berlangsung.

Sebagai langkah memperkukuh budaya pematuhan keselamatan, JPJ berkata, sebanyak 3,000 topi keledar akan diagihkan kepada pengunjung terawal menerusi Program Pertukaran Topi Keledar yang dijangka menjadi antara tarikan utama acara.

Sempena Bulan Kebangsaan, JPJ menyokong penuh seruan Perdana Menteri agar peserta mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kecintaan kepada tanah air dan semangat patriotisme.

Untuk info, program RXZ Members, yang mula dianjurkan sejak 2018, terus mendapat sambutan hangat daripada komuniti permotoran.

Penganjurannya saban tahun bukan sahaja meraikan minat terhadap motosikal, malah menyokong agenda Kerajaan MADANI dalam membina budaya permotoran yang lebih positif, selamat dan inklusif.

Anda Mungkin Berminat