JPJ Siasat Pemandu Bas Ekspres Riba Wanita Ketika Memandu

PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memulakan siasatan selepas tular video memaparkan tindakan seorang pemandu bas ekspres yang didakwa memandu sambil meriba seorang wanita.

Dalam rakaman dipercayai dibuat oleh penumpang, wanita berkenaan kelihatan duduk di atas riba pemandu sambil memegang stereng ketika bas bergerak di lebuh raya.

Satu lagi klip daripada kamera papan pemuka (dashcam) turut menunjukkan bas tersebut memandu secara berbahaya dengan menyelit di celah kenderaan lain.

Berdasarkan hantaran di Facebook, bas ekspres itu dipercayai dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke Kulai semasa kejadian.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, tindakan segera diambil sejurus video berkenaan tersebar.

“Siasatan segera dijalankan susulan video tular itu. Pemandu dan syarikat bas yang terbabit sudah pun dikenal pasti.

“Pemandu berkenaan juga sudah dipanggil untuk diambil keterangan pagi ini,” katanya.

Beliau berkata, sebaik siasatan lengkap, kes akan dirujuk kepada Ketua Pengarah JPJ untuk tindakan lanjut.

Muhammad Kifli turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan tampil ke mana-mana pejabat JPJ berhampiran.

Dalam peringatannya, beliau menekankan kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya khususnya bagi pengendali kenderaan komersial.

“Ini sangat penting bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan mengelakkan insiden yang boleh meragut nyawa,” katanya.

Anda Mungkin Berminat