JPM Sokong Cadangan Tubuh Jawatankuasa Anak Muda Di Masjid

PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan sokongan penuh terhadap seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar diwujudkan jawatankuasa khas anak muda di setiap masjid.

Langkah itu bertujuan memberi ruang kepada golongan belia merancang serta melaksanakan program yang dapat memakmurkan institusi masjid.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, masjid bukan sekadar tempat ibadah tetapi berperanan sebagai pusat tarbiah dan pembinaan sahsiah ummah, berpandukan contoh Rasulullah SAW melalui Masjid Nabawi.

Menurut beliau, institusi masjid wajar diperkasakan sebagai ruang mesra anak muda yang beradab, inklusif dan patuh syariat bagi memastikan penglibatan belia dapat diperkukuh secara berterusan.

“JPM (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan meneliti cadangan penubuhan jawatankuasa khas anak muda di masjid bagi memperkukuh peranan belia dalam pembangunan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Dr Zulkifli berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sebelum ini, termasuk Program Kariah MADANI dan Kuliah Zuhur oleh asatizah muda di Surau Parlimen sebagai usaha mendekati golongan belia serta memperkukuh kefahaman agama.

Selain itu katanya, penglibatan anak muda juga diperluas melalui penganjuran Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (HAMKA) pada Februari lalu, yang menghimpunkan kira-kira 1,000 asatizah muda dari seluruh negara.

Program tersebut menjadi wadah memperkasakan pembangunan ummah dan penyebaran ilmu berimpak tinggi.

Tambah beliau, pendekatan bersepadu itu diyakini mampu menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan rohani dan sosial generasi muda, sekali gus memperkukuh kedudukan masjid sebagai nadi masyarakat.

Anda Mungkin Berminat