JPN jamin agihan BUDI95 berjalan lancar 30 September depan

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi jaminan kelancaran pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 atau BUDI95 dapat berjalan lancar bermula 30 September ini.

Kelancaran itu dilaksanakan menerusi sistem yang diintegrasikan bersama Kementerian Kewangan (MOF).

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail penyelarasan itu penting bagi mengelakkan gangguan, termasuk risiko terjadinya penyalahgunaan MyKad yang hilang ketika proses tuntutan subsidi bersasar.

“Sejurus selepas kita mengenalpasti insiden yang berlaku itu, serta merta kita synckan linkkan dengan sistem,” ujarnya memetik berita tempatan pada Selasa.

Saifuddin turut menasihatkan orang ramai untuk memastikan terlebih dahulu cip MyKad berfungsi dengan baik bagi memastikan kelancaran pelaksanaan BUDI95.

“Kalau cip rosak, nanti tidak boleh dibaca.

“Untuk tempoh permulaan ini kita galakkan orang tukar (MyKad), supaya tidak ada masalah pada hari itu agar sedaya upaya dapat meminimumkan gangguan.

“Jika ditakdir akan berlaku (cip rosak) juga pada hari itu, MOF sudah umumkan bahawa mereka boleh pergi ke kaunter dan masukkan nombor kad pengenalan itu secara manual.

“Sistem itu dengan sendirinya akan beritahu kita.

“Kita tidak mahu nanti orang marah, maki hamun dan segala macam. Kita permudahkan sehingga sistem ini stabil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan turut mengecualikan caj RM10 bagi setiap gantian cip MyKad rosak bermula hari ini sehingga 7 Oktober depan.

“Kerajaan menanggung kos sebanyak RM714,660 bagi pengecualian cap RM10 bagi gantian cip MyKad rosak,” ujarnya.

Beliau turut memberi jaminan stok cip MyKad bagi tempoh ini juga mencukupi dan tiada had giliran harian di kaunter.

Proses urusan penggantian MyKad itu kebanyakannya boleh disiapkan dalam masa sehari, namun ia bergantung kepada lokasi pejabat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat