JPP Kesal Dakwaan Rafizi, Senarai Dilulus MPP Dianggotai Beliau

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan rasa kesal terhadap dakwaan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung pengurusan Pemilihan PKR 2025.

Dalam satu kenyataan media, pada Ahad, JPP menegaskan bahawa semua proses berkaitan senarai pemilih telah dijalankan secara telus dan berpandukan peraturan sedia ada.

Menurut JPP, senarai keanggotaan yang digunakan telah melalui proses eKYC serta pengesahan menyeluruh sebelum diluluskan sebagai senarai sah untuk tujuan pengundian.

“Kenyataan yang mendakwa JPP tidak mengendahkan aduan dan bantahan adalah tidak benar dan amat dikesali.

“Setiap aduan telah diberi perhatian secara adil dan profesional,” kata Timbalan Pengerusi JPP merangkap Pengerusi Biro Bantahan dan Aduan, Datuk Paduka Ahmad Kasim.

JPP turut menjelaskan bahawa Peraturan Pemilihan Parti telah diluluskan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 23 Februari 2025 dan disahkan oleh Biro Politik pada 3 Mac 2025, kedua-dua badan yang turut dianggotai oleh Rafizi sendiri.

Sepanjang proses pemilihan berlangsung, sebanyak 289 aduan dan bantahan diterima melibatkan pelbagai aspek termasuk pencalonan, kempen dan pengundian.

Semua aduan telah diteliti dengan rapi dan dirujuk kepada pihak berkaitan termasuk Lembaga Disiplin Parti.

Tambah kenyataan itu, MPP telah membuat keputusan untuk menyemak semula keputusan bagi enam cabang terpilih dengan bantuan juruaudit antarabangsa.

Hasil laporan audit mendapati tiada bukti berlaku manipulasi atau penyelewengan dalam sistem e-pengundian.

JPP turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa, terutamanya Pengerusi JPP 2025, Dr Zaliha Mustafa, atas kepimpinan profesional dalam memastikan proses pemilihan berjalan lancar.

“JPP akan terus komited melaksanakan pemilihan secara adil, bebas, bersih dan berintegriti demi kepentingan parti,” kata Ahmad.

Anda Mungkin Berminat