JOHOR BAHRU: Penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) bakal membuka lembaran baharu dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi Johor serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan inisiatif strategik itu sebagai pemangkin penting ke arah kerjasama rentas sempadan yang lebih mampan dan inklusif.
“Dengan pelbagai inisiatif seperti JS-SEZ, kita pastikan pertumbuhan ekonomi negeri terus dipacu secara seimbang, melibatkan komuniti tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan dan pelaburan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Nikkei Forum Medini 2025 yang berlangsung di Johor, hari ini.
Menurut Anwar, pelaksanaan JS-SEZ selari dengan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan yang holistik dan menyeluruh. Beliau turut menekankan bahawa hubungan erat Malaysia–Jepun yang terjalin lebih enam dekad menjadi asas kukuh dalam memperkukuh kerjasama ekonomi dan teknologi.
“Hubungan dua hala ini berteraskan saling menghormati, inovasi bersama serta kepercayaan terhadap potensi Asia.
“Ia telah menyokong usaha kita mempercepat transformasi digital dan menjulang tadbir urus yang berintegriti,” ujarnya.
Dalam majlis itu, beliau turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Jepun, NEOJAPAN dan agensi pelaburan negeri, Invest Johor yang melambangkan komitmen berterusan pelabur asing terhadap pertumbuhan digital Johor.
Anwar turut menegaskan peranan penting platform seperti Nikkei Forum Medini dalam membentuk masa depan rantau Asia.
“Saya percaya masa depan rantau ini akan dipimpin oleh mereka yang berani membuat keputusan berprinsip dan berpandangan jauh,” katanya.