KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) atas kejayaan membanteras jenayah berskala besar menerusi tiga operasi utama pada tahun ini.
Kata beliau, tiga operasi tersebut adalah Operasi Pintas Mega, Operasi Cyber Guardian dan Operasi Judi Haram Khas yang digerakkan secara bersepadu bersama agensi tempatan dan antarabangsa.
“Dalam operasi Pintas Mega yang dijalankan pada Februari lalu, sebanyak 45 serbuan dilaksanakan dan membawa kepada penahanan 249 individu serta 144 mangsa berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
“Operasi tersebut dilaksanakan oleh Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) JSJ Bukit Aman, dengan kerjasama kontinjen polis seluruh negara, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja dan pihak berkuasa tempatan.
“(Kejayaan) ini jelas membuktikan kesungguhan dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan pendudukan migran secara tuntas dan profesional,” katanya dalam ucapan amanat KPN sempena Perhimpunan Bulanan KPN Bulan Mei 2025 anjuran Jabatan Siasatan Jenayah di Dataran Kompleks 3, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman pada Rabu.
Dalam perkembangan lain, kata Razarudin, JSJ turut melakar kejayaan dalam pelaksanaan Operasi Cyber Guardian, yang dijalankan secara kerjasama rentas sempadan melibatkan enam negara iaitu Malaysia, Singapura, Jepun, Hong Kong, Korea Selatan dan Thailand.
Operasi yang berlangsung dari 28 Februari hingga 28 Mac itu menyasarkan jenayah gangguan seksual kanak-kanak atas talian, dengan penglibatan 46 pegawai kanan dan rendah PDRM serta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Unit Analitik & Pengesanan D9 JSJ.
“Empat individu termasuk seorang penjawat awam, seorang pereka web, seorang akauntan dan seorang pekerja industri telekomunikasi telah ditahan, manakala lebih 50,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak dirampas melalui aplikasi Telegram dan platform perkongsian rakan (B2B).
“Kesemua suspek kini disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan Kanun Keseksaan,” tambahnya.
Selain itu, menerusi Operasi Judi Haram Khas, sebanyak 6,719 serbuan telah dilakukan membabitkan 8,603 tangkapan, serta rampasan 3,494 peranti elektronik termasuk komputer, tablet dan telefon bimbit.
Turut dirampas ialah wang tunai berjumlah lebih RM1.6 juta, dipercayai hasil daripada kegiatan pertaruhan haram, kata Razarudin.
“Gerakan bersepadu ini memperlihatkan ketegasan JSJ dan juga PDRM yang tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk aktiviti jenayah termasuk perjudian haram yang menyalahi undang-undang serta mampu mengganggu ketenteraman awam,” katanya.
Untuk rekod, JSJ diketuai oleh Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.