PDRM seru orang ramai tidak sertai skim pelaburan tidak berdaftar di Malaysia

Masyarakat diingatkan untuk tidak menyertai sebarang skim pelaburan yang tidak berdaftar di Malaysia untuk mengelakkan diri mereka daripada menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud.

Peringatan tersebut disampaikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf yang menyatakan pelaburan dalam skim yang tidak berdaftar tersebut tidak mendapat perlindungan undang-undang dalam Malaysia.

Menurutnya, ia boleh meningkatkan risiko pelabur terhadap kerugian yang besar.

Beliau turut menyebut keputusan Mahkamah Persekutuan pada 24 April lalu yang membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk melucutkan hak sejumlah RM1,112,700 daripada 79 pelabur skim pengambilan deposit secara haram.

Dalam kes tersebut, 79 responden yang terlibat telah membuat tuntutan untuk mendapatkan semula wang yang mereka laburkan dalam skim pelaburan VenusFX.

“Namun, mahkamah mendapati bahawa wang yang dirampas daripada sindiket pelaburan tersebut adalah hasil aktiviti haram, maka wang yang didepositkan oleh responden juga tercemar.

“Oleh itu, responden tidak mendapat perlindungan undang-undang yang sah terhadap wang tersebut,” katanya pada sidang media pada Jumaat.

Dalam kes berasingan, JSJK turut menyiasat satu kes di Petaling Jaya, Selangor, di mana seorang pengadu telah menjadi mangsa penipuan.

“Pengadu telah dipujuk oleh suspek yang mengaku sebagai pemilik syarikat pemasaran pelbagai tingkat (MLM) yang berskala besar.

“Suspek meyakinkan pengadu bahawa syarikatnya bakal berkembang dan menawarkan saham pada harga yang menarik.

“Namun, semakan lanjut mendapati suspek hanya memiliki separuh saham yang dijanjikan, menyebabkan pengadu mengalami kerugian sebanyak RM4.1 juta,” katanya.

Ramli turut menekankan agar masyarakat tidak terpedaya dengan tawaran yang terlalu bagus untuk dipercayai dan menegaskan bahawa JSJK akan terus memantau dan bertindak atas sebarang kegiatan pelaburan yang mencurigakan demi melindungi kepentingan masyarakat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat