PETALING JAYA: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman terus melakar kejayaan besar dalam memerangi jenayah narkotik apabila berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan dadah melibatkan dua makmal berskala besar.
Operasi bersepadu itu bukan sahaja menggagalkan aktiviti haram berkenaan, malah berjaya membongkar keseluruhan modus operandi kumpulan terbabit.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dalam sidang media, hari ini, memaklumkan bahawa kejayaan pertama melibatkan penemuan makmal haram memproses cecair vape di dua unit kondominium di Ampang, Selangor.
“Lima individu termasuk warga asing ditahan dan pelbagai jenis dadah dirampas termasuk cecair MDMA, kokain serta kartrij vape.
“Nilai rampasan dianggarkan RM21.85 juta dan jumlah dadah yang disita berpotensi menjejaskan lebih 600,000 individu,” katanya.
Menurut Hussein, siasatan mendapati sindiket tersebut mula aktif sejak Oktober 2024 dan menyewa unit kondominium bernilai RM6,000 sebulan sebagai lokasi memproses cecair vape untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 turut diambil dengan sitaan harta bernilai RM530,513.50 meliputi kenderaan, barangan mewah dan wang tunai,” ujarnya.
Tambah beliau, kejayaan kedua pula melibatkan penahanan 13 suspek hasil daripada enam serbuan sekitar Ampang, Kuala Lumpur dan Cheras yang membongkar dua lagi makmal pembuatan dadah sintetik dalam bentuk minuman.
“Rampasan melibatkan air kotak dan botol jus dadah, pil ekstasi, Erimin 5 dan ketamin dengan anggaran nilai RM5.03 juta, mampu menjejaskan lebih 2.3 juta pengguna,” katanya.
JSJN turut menyita harta bernilai RM826,222 daripada para suspek termasuk tujuh buah kereta pelbagai jenama, barang kemas dan wang tunai.
“Kesemua kes kemudiannya disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti komitmen JSJN dalam memerangi musuh nombor satu negara demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah narkotik melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222.