JSJN Tumpas Enam Sindiket Dadah, Rampasan Cecah RM54 Juta

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan enam sindiket pengedaran dadah menerusi siri Operasi Khas yang dijalankan antara Ogos hingga September lalu, membabitkan rampasan dadah bernilai lebih RM54 juta.

Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi tersebut menyaksikan rampasan keseluruhan sebanyak 1,706.35 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah, dengan nilai pasaran dianggarkan mencecah RM54.18 juta.

Katanya, seramai 24 individu berusia antara 19 hingga 55 tahun telah ditahan, terdiri daripada 17 lelaki tempatan, dua lelaki warga asing, empat wanita warga asing dan seorang wanita tempatan.

Beliau berkata, antara kejayaan terbesar ialah Op Black Ash yang dijalankan di Negeri Sembilan dan Melaka, di mana pihak polis berjaya merampas 961.8 kg cecair fentanyl bernilai RM30.7 juta.

Sementara itu katanya lagi, Op Black Wood di Selangor membawa kepada rampasan 75.09 kg dadah campuran dengan nilai RM2.7 juta.

“Dalam Op Ceylon yang dilaksanakan di Lembah Klang dan Muar, JSJN merampas 132.86 kg pelbagai jenis dadah bernilai RM3.3 juta.

“Op Blackbutt pula menyaksikan rampasan 202.59 kg methamphetamine di Selangor dengan nilai RM6.76 juta.

“Operasi di Sungai Besi yang dinamakan Op Black Birch berjaya menahan tiga suspek bersama 103.33 kg methamphetamine bernilai RM3.32 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Manakala Hussein Omar berkata, Op Cengal di Lembah Klang menyumbang kepada rampasan 230.67 kg methamphetamine bernilai RM7.4 juta.

“Semua kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat.

“Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah,” tegasnya.

JSJN Bukit Aman terus memperkukuh operasi membanteras sindiket dadah di seluruh negara, selaras dengan pengisytiharan dadah sebagai musuh nombor satu negara.

Anda Mungkin Berminat