PETALING JAYA: Prestasi sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia terus mencatatkan perkembangan positif apabila jualan keseluruhan bagi Mei 2025 mencecah RM154.3 bilion.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan, angka itu menunjukkan peningkatan 4.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu dipacu oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, yang masing-masing mencatatkan jualan sebanyak RM68.2 bilion dan RM67.1 bilion.
“Subsektor kenderaan bermotor turut mencatat jualan RM19 bilion dengan kenaikan 1.2 peratus, mencerminkan kestabilan aktiviti perniagaan dalam rantaian bekalan,” katanya.
Beliau berkata, kaedah pembayaran digital terus berkembang pesat apabila transaksi melalui e-wallet meningkat sebanyak 70.2 peratus, mencecah RM21.5 bilion.
Sementara itu, katanya, pembayaran segera melalui RPP dan FPX masing-masing mencatatkan RM289.4 bilion dan RM39.2 bilion, mencerminkan perubahan corak perbelanjaan pengguna ke arah digital.
“Kedai bukan pengkhususan (naik 4.0 peratus) kepada RM25.9 bilion, kedai pengkhususan (naik 5.2 peratus), peralatan isi rumah (naik 5.6 peratus) disokong jualan tekstil dan perabot.
“Selain itu, borong barangan isi rumah, makanan dan tembakau (naik lebih 7 peratus) serta jentera dan kelengkapan komunikasi (naik 5.1 peratus) kepada RM5.4 bilion,” menurut kenyataan itu.
Mohd Uzir berkata, walaupun jualan runcit dalam talian menunjukkan peningkatan tahunan sebanyak 2.2 peratus, ia menyusut 3.4 peratus secara bulanan selepas pelarasan musim.
Manakala indeks volum perdagangan keseluruhan katanya, turut naik 4.1 peratus, disokong oleh pertumbuhan borong (5.8 peratus) dan runcit (3.7 peratus).
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila menerajui senarai ‘Open Data Inventory (ODIN)’ 2024/25 di peringkat global, mengatasi 198 negara lain.
“Perkembangan ini selari dengan kedudukan Malaysia yang kini menerajui ‘Open Data Inventory (ODIN)’ 2024/25 peringkat global… satu pencapaian besar dalam usaha keterbukaan data,” tambah Mohd Uzir.