Jualan Borong, Runcit Cecah RM158 Bilion Pada September, Lonjak 6.6 Peratus

PUTRAJAYA: Sektor perdagangan borong dan runcit negara terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila nilai jualannya melonjak kepada RM158 bilion pada September lalu, meningkat 6.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu didorong oleh kekuatan tiga subsektor utama iaitu borong, runcit dan kenderaan bermotor yang masing-masing menyumbang RM71.1 bilion, RM68.9 bilion dan RM18 bilion.

“Pertumbuhan jualan runcit banyak disokong oleh perbelanjaan isi rumah melalui penebusan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta aktiviti perayaan dan cuti sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, subsektor borong mencatatkan peningkatan kukuh terutamanya dalam jualan barangan isi rumah yang naik 8.2 peratus kepada RM15.1 bilion.

“Jualan makanan, minuman dan tembakau turut meningkat 7.2 peratus, manakala permintaan terhadap bahan mentah pertanian dan haiwan hidup melonjak 9.3 peratus dipacu oleh pasaran minyak sawit dan kayu balak yang rancak.

“Dalam sektor runcit, jualan di kedai bukan pengkhususan seperti pasar raya dan pasar mini melonjak 9.9 peratus kepada RM27.1 bilion,” katanya.

Manakala Mohd Uzir berkata, kedai pengkhususan pula mencatatkan jualan RM14.2 bilion, meningkat 5.8 peratus.

“Jualan bahan api kenderaan turut menunjukkan pertumbuhan tujuh peratus, mencerminkan peningkatan aktiviti perjalanan awam.

“Subsektor kenderaan bermotor juga tidak ketinggalan dengan jualan meningkat 4.3 peratus selari dengan pertambahan pendaftaran kereta kepada 62,598 unit,” katanya.

Tambahnya lagi, perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan pula melonjak 9.6 peratus kepada RM2.9 bilion.

“Trend positif turut dilihat dalam jualan runcit dalam talian yang meningkat 9.5 peratus.

“Lonjakan itu disumbang oleh promosi besar-besaran seperti jualan 9.9 serta peningkatan ketara dalam penggunaan e-dompet, yang mencatatkan transaksi sebanyak RM23.9 bilion melonjak 62.7 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.

Melihat kepada momentum semasa, beliau berkata, sektor perdagangan borong dan runcit dijangka terus mencatat prestasi positif pada Oktober, dipacu oleh perbelanjaan musim perayaan Deepavali serta bantuan tunai kepada isi rumah.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, Malaysia turut mencatat kejayaan membanggakan di peringkat antarabangsa apabila menduduki tempat pertama dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25.

Pencapaian itu menyaksikan negara melonjak daripada kedudukan ke-67 pada 2022/23, sekali gus mengukuhkan peranan platform OpenDOSM NextGen sebagai sumber data ekonomi yang telus dan mudah diakses.

Anda Mungkin Berminat