Oleh: Nadhirah Akmam
BAND pop alternatif popular dari Indonesia, Juicy Luicy, bakal menghangatkan pentas Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 sebagai artis utama dalam acara penuh jiwa yang akan berlangsung pada 17 Ogos 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh Expoindo dan Thrive, RIF bukan sekadar sebuah konsert hiburan tetapi ia dirangka sebagai sebuah pengalaman muzik yang menyentuh perasaan dan membangkitkan semangat menerusi perkongsian kisah inspiratif oleh para artis.
“Nama Ruang Inspirasi lahir daripada niat kami untuk jadikan muzik sebagai ruang yang bukan hanya menghibur, tetapi juga menyentuh jiwa,” kata wakil Expoindo, Bram Tulong, dalam satu kenyataan.
Juicy Luicy yang mencipta fenomena dengan lagu-lagu seperti Lantas, Lampu Kuning, dan Sialan telah dipilih sebagai artis fasa pertama festival ini.
Karya mereka terbukti dekat di hati pendengar muda Malaysia dan membawa naratif kehidupan yang tulus dan ‘relatable’.
Menurut penganjur, setiap persembahan dalam RIF 2025 direka agar penonton bukan sekadar menyaksikan aksi pentas tetapi turut menyelami perjalanan seni para artis.
“Kami mahu peminat rasa lebih dekat, bukan sekadar menonton.
“Setiap persembahan akan ada ruang cerita dan inspirasi,” tambahnya lagi.
Festival ini akan menampilkan dua sesi konsert dalam satu hari, dengan tiket pra-jualan untuk sesi malam Juicy Luicy bermula dari RM128 hingga RM528.
Tiket boleh didapatkan melalui aplikasi BBO Events atau laman web rasmi ri-fest.com/kualalumpur sejak 3 Julai lalu.
Sebagai usaha menyuburkan jambatan budaya antara Malaysia dan Indonesia, Expoindo turut merancang untuk membawa RIF ke bandar-bandar utama lain di Malaysia dengan harapan menyemai nilai positif menerusi muzik dan memperkukuh solidariti serantau.