Jumpa Nabi, tanya sifat lelaki dalam mimpi – Khairuddin

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Mengesahkan kebenaran mimpi bertemu Rasulullah SAW memerlukan pelbagai pertimbangan terutamanya dalam proses mengenali ciri-ciri fizikal Baginda itu sendiri.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr Mohd Khairuddin Takiri berkata ini selari dengan kata-kata Imam Ahmad dan Imam Tirmizi bahawa syaitan tidak boleh menyerupa Nabi Muhammad.

Khairuddin turut menyertakan riwayatkan kisah Yazid al-Farisi yang mendakwa bermimpi Rasululllah SAW namun apabila ditanya sifat-sifat lelaki yang dilihatnya dalam mimpi, Yazid terlalu banyak maklumat lalu Ibnu Abbas menyatakan mimpi Yazid bukanlah Nabi Muhammad.

“Sekiranya kamu pernah melihat baginda secara hidup tentu sekali kamu tidak boleh menjelaskan sifat-sifat baginda lebih daripada itu” kata Ibnu Abbas.

Untuk rekod, Yazid merupakan seorang Tabiin dan tidak pernah bertemu baginda pada hayat baginda.

Tambah Khairuddin, ulama menjelaskan sebagaimana petunjuk Ibnu Abbas (r.ah) bahawa sesiapa yang mendakwa bertemu Rasululllah SAW hendaklah ditanya sifat-sifat lelaki yang dilihat itu.

“Sekiranya dia menepati sifat-sifat Rasulullah sebagaimana para Sahabat melihat dan meriwayatkannya maka benarlah dia melihat Rasulullah (saw) kerana Syaitan tidak boleh menyerupai Nabi sebagaimana rupa sebenar baginda ketika hayat baginda,” katanya.

Terdahulu tular rakaman video ucapan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menceritakan bagaimana Nabi Muhammad yang datang ke Rusila di Marang, Terengganu dan meminta ahli politik terbabit mendamaikan perbalahan di antara golongan Sunni dan Syiah.

Dipercayai mimpi tersebut dialami Abdul Hadi hampir 10 tahun lalu.

Anda Mungkin Berminat