“Jumpa nanti…” – Adam Adli setuju dialog terbuka bersama mahasiswa

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Adli Abdul Halim, bersetuju mengadakan dialog terbuka bersama mahasiswa seperti dicadangkan Liga Mahasiswa Malaysia (LMM).

Adam berkata, usaha berkenaan sudah dirancang sejak hari pertama beliau memegang jawatan dalam Kabinet Madani bagi membuka ruang lebih luas kepada penglibatan mahasiswa dalam proses semak dan imbang.

“Setuju dan tidak perlu khuatir; perkara ini sudah dalam perencanaan bagi membuka ruang yang lebih luas kepada mahasiswa,” katanya menerusi ruangan komen di Instagram rasmi LMM.

Adam menegaskan, mahasiswa perlu memainkan peranan aktif tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan ideologi dan tidak hanya terlibat dalam sesi dialog atau town hall semata-mata.

Sebaliknya, Adam berkata, mahasiswa wajar dilibatkan secara langsung dalam proses perangkaan serta pembentukan dasar berkaitan sistem pendidikan tinggi dan hala tuju masa depan negara.

Terdahulu, LMM mencabar Adam untuk mengadakan dialog terbuka di kampus universiti bersama mahasiswa, dengan menyifatkan latar belakang beliau sebagai bekas aktivis mahasiswa meletakkan tanggungjawab moral untuk berinteraksi dengan aktivis generasi semasa.

Antara isu yang dijangka dibincangkan termasuk kos sara hidup, kebajikan mahasiswa, dasar universiti, pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta Deklarasi Mahasiswa 2025.

Presiden LMM, Alyaah Hani Anuar, berkata dialog itu bertujuan memberi peluang kepada mahasiswa mendengar sendiri visi Adam sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Tarikh dialog akan dimaklumkan kemudian dan dijangka diadakan di Universiti Malaya atau Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat