PETALING JAYA: Seorang jururawat yang bekerja di Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerima empat jahitan selepas dipukul seorang lelaki kurang siuman ketika berjalan kaki ke hentian bas di depan sebuah hotel di Jalan Pahang pada pukul 5.10 petang, Jumaat lalu.
Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, jururawat tersebut dipukul di belakang kepala oleh seorang lelaki menggunakan objek keras.
“Suspek ditahan di sekitar lokasi kejadian pada malam Sabtu lalu dan sebilah pisau pemotong kertas turut dirampas daripada milikannya.
“Pengadu mengalami kecederaan dan menerima empat jahitan di kepala akibat kejadian itu setelah mendapatkan rawatan lanjut di HKL.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek kurang siuman dan tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya.
Tambahnya, suspek juga gagal mengemukakan butiran dirinya secara lisan.
Susulan itu, kata beliau, suspek dihantar ke HKL dan ditahan di wad psikiatri untuk pemantauan selanjutnya.
Sulizmie turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan menyalurkan maklumat kepada polis jika mengesan pergerakan mencurigakan yang mungkin mengancam keselamatan diri.