PETALING JAYA: Sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia, penghargaan tulus telah dizahirkan kepada seluruh jururawat di negara ini atas jasa, dedikasi dan pengorbanan mereka yang tidak ternilai dalam memastikan sistem kesihatan negara terus kukuh.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan penghargaannya kepada para jururawat yang disifatkan sebagai denyut nadi kepada sistem kesihatan.
“Saya tahu, di sebalik senyuman yang kalian berikan kepada pesakit, ada penat lelah yang tersimpan rapi.
“Di sebalik seragam putih itu, ada insan yang kuat, sabar dan sentiasa menghulurkan bantuan, tanpa mengharapkan sebarang balasan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Beliau turut menekankan bahawa profesion kejururawatan bukan sekadar pekerjaan, malah merupakan asas kepada pemulihan pesakit dan penjagaan kesihatan masyarakat.
Mengulas tema sambutan tahun ini, “Our Nurses. Our Future. Caring for Nurses Strengthens Economies”, beliau berkata ia adalah peringatan penting bahawa menjaga kebajikan jururawat bererti menjaga masa depan negara.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan turut merakamkan penghargaan kepada jururawat atas pengorbanan dan kesetiaan mereka dalam memberikan rawatan secara berterusan kepada rakyat.
“Jururawat adalah tulang belakang sektor kesihatan. Mereka menjaga yang sakit, memberi semangat kepada yang lemah dan sentiasa hadir dalam detik paling mencabar,” kata hantaran itu.
KKM turut menyeru agar jururawat terus diberikan pengiktirafan sewajarnya, memandangkan sumbangan mereka bukan sahaja penting kepada sistem kesihatan yang mampan.
Malah turut menyumbang kepada kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara menerusi sistem perkhidmatan yang kukuh dan menyeluruh.
Baca juga: