PUTRAJAYA: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menegaskan komitmennya untuk memperkukuhkan tatakelola, integriti serta usaha pencegahan rasuah dalam pentadbiran termasuk agensi di bawah seliaannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah itu bukan sekadar dasar semata-mata tetapi diterjemahkan melalui tindakan struktur, sistem dan operasi yang menyeluruh.
“JWP mengambil pendirian tegas bahawa rasuah dan salahguna kuasa tidak mempunyai tempat dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan,” katanya ketika menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan JWP di Menara Seri Wilayah, Putrajaya.
Majlis tersebut menyaksikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mewakili SPRM manakala Ketua Pengarah JWP, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim, mewakili JWP.
Kerjasama yang dimeterai itu meliputi perkongsian maklumat dan kepakaran dalam pengesanan aduan atau salah laku, penyaluran maklumat konsisten berkaitan jenayah rasuah serta khidmat nasihat bagi menambah baik sistem dan tatacara kerja.
Ia turut merangkumi latihan peningkatan kemahiran serta kompetensi dalam pencegahan rasuah, di samping memperkukuhkan penguatkuasaan, tadbir urus, integriti dan agenda antirasuah.
Hannah berkata, JWP turut membuat penilaian semula penarafan risiko termasuk pertimbangan penempatan pegawai SPRM di Unit Integriti Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP).
Sementara itu, Tan Sri Azam berkata, penempatan pegawai integriti di JWP akan dibuat berdasarkan keperluan hasil penarafan risiko oleh SPRM.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail serta Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir.








