PETALING JAYA: Susulan insiden mengejutkan yang berlaku semasa sambutan Hari Kebangsaan di Ipoh baru-baru ini, Kabinet telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperketatkan aspek keselamatan bagi semua program yang melibatkan Raja-Raja Melayu.
Jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang khususnya ketika acara rasmi yang melibatkan institusi diraja.
“KDN memaklumkan akan mengambil tindakan susulan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, Rabu.
Insiden yang mencetuskan kebimbangan itu berlaku pada pagi Ahad lalu, apabila seorang wanita berpakaian serba hitam secara tiba-tiba meluru ke arah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika lagu kebesaran negeri sedang berkumandang.
Kejadian berlaku sekitar pukul 8.20 pagi dan mengejutkan barisan kerabat diraja serta orang ramai yang hadir.
Siasatan awal mendapati wanita berusia 41 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan pernah menerima rawatan psikiatri.
Beliau kini berada di bawah pengawasan pakar kesihatan mental.
Wanita tersebut telah direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.








