Kabinet Arah Semak Pekeliling Pakaian, Pengecualian Di Barisan Hadapan

PUTRAJAYA: Kabinet mengarahkan semakan segera terhadap pekeliling berkaitan etika pemakaian di premis kerajaan susulan isu seorang individu tidak dibenarkan membuat laporan polis kerana berpakaian tidak menepati garis panduan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dengan penekanan bahawa akses kepada perkhidmatan barisan hadapan tidak wajar terhalang oleh peraturan pentadbiran.

Jurucakap Kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pandangan Anwar jelas bahawa urusan keselamatan dan kesihatan perlu diutamakan tanpa sebarang sekatan.

“Dalam isu keselamatan, khususnya di balai polis, tidak boleh wujud sebarang keadaan yang menghalang orang ramai daripada membuat laporan atau mendapatkan bantuan,” katanya dalam Sidang Media Mingguan pada Rabu.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar diarahkan meneliti semula pekeliling pemakaian yang dikeluarkan pada 2020 bagi menilai keperluan penambahbaikan.

Menurut Fahmi, antara perkara yang akan dipertimbangkan ialah pengecualian khusus kepada perkhidmatan kritikal dan barisan hadapan seperti balai polis serta fasiliti kesihatan awam.

Kabinet turut menjangkakan satu pekeliling baharu atau kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat selepas penelitian lanjut dibuat oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara.

Langkah itu bertujuan memastikan keseimbangan antara pematuhan peraturan dan keperluan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan asas tanpa halangan.

Isu ini timbul selepas laporan tular mengenai seorang individu yang dimaklumkan tidak dibenarkan membuat laporan polis kerana berpakaian tidak mengikut garis panduan, sekali gus mencetuskan perdebatan awam mengenai akses perkhidmatan kerajaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat