Kabinet Baharu Penerus Kehendak Rakyat, Bukan Sekadar Retorik – Anwar

KUALA LUMPUR: Kabinet MADANI yang baru dilantik bukan sekadar simbolik atau retorik, sebaliknya memikul amanah besar rakyat yang menuntut tindakan segera serta keputusan berani, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, setiap dasar yang digubal mesti memberi kesan nyata kepada rakyat dan tidak boleh sekadar menjadi slogan.

“Setiap anggota Kabinet mesti terus bekerja dengan disiplin dan berkhidmat dengan penuh kerendahan hati, memastikan pelaksanaan dasar bergerak pantas, berintegriti serta sampai kepada rakyat tanpa lengah dan sebarang alasan,” katanya dalam satu hantaran pada Rabu.

Anwar berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet MADANI susulan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negara.

Beliau berkata, keberkesanan kerajaan bergantung kepada kesungguhan semua anggota Kabinet dalam mengutamakan kepentingan rakyat, melaksanakan dasar secara bersepadu dan memastikan setiap keputusan memberi impak nyata kepada masyarakat.

“Saya menyeru anggota Kabinet agar sentiasa mendengar suara rakyat dan bertindak proaktif dalam menghadapi cabaran semasa, sambil memastikan setiap langkah dasar dapat memberi manfaat maksimum kepada masyarakat di seluruh negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat