Kabinet: Faktor Usia dan Status Bekas PM, Tiada Tindakan Terhadap Mahathir Isu Batu Puteh

KUALA LUMPUR:  Kabinet memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam isu penarikan semula semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira faktor usia lanjut Dr Mahathir yang kini hampir mencecah 100 tahun serta status beliau sebagai mantan pemimpin negara.

“Apakah dia tak salah (dalam isu Pulau Batu Puteh)? Ya, dia salah. Tapi apakah kita perlu ambil tindakan? Saya dalam mesyuarat Kabinet, saya setuju tak ambil tindakan,” kata Anwar di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu).

Tambah Anwar, sekiranya tindakan undang-undang diambil, ia mungkin mengundang persepsi tidak adil, termasuk daripada pembangkang sendiri.

Untuk rekod, Pulau Batu Puteh ialah sebuah batuan kecil yang terletak kira-kira 14.3 kilometer di timur laut Johor. Ia telah menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura sejak tahun 1979 selepas Malaysia menerbitkan peta yang menunjukkan pulau tersebut berada dalam wilayahnya, namun ditentang oleh Singapura.

Pada tahun 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura, manakala Batuan Tengah (Middle Rocks) adalah milik Malaysia. Tubir Selatan (South Ledge) pula diserahkan kepada pihak yang memiliki perairan wilayah sekitarnya, yang masih menjadi perbahasan teknikal.

Bagaimanapun, pada tahun 2017, kerajaan Malaysia di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan ICJ berdasarkan penemuan bukti baharu.

 Namun, semakan itu ditarik balik pada Mei 2018 ketika Tun Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Tindakan tersebut mencetuskan kontroversi, dan pada 2023, kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat keputusan penarikan balik tersebut.

RCI dalam laporannya yang didedahkan kepada umum pada 5 Disember 2024, mendapati Dr Mahathir telah mengelirukan Jemaah Menteri dalam membuat keputusan berkenaan dan mencadangkan siasatan jenayah dijalankan.

RCI turut berpandangan bahawa Malaysia masih mempunyai ruang untuk mencabar keputusan ICJ sekiranya bukti dan pendekatan baharu dikemukakan secara teratur.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat