Kabinet Kerajaan MADANI: Cerminan Kepelbagaian Nasional Dan Keterangkuman Rakyat

Oleh: Nadhirah Akmam

PETALING JAYA: Barisan Kabinet baharu Kerajaan MADANI menampilkan komposisi kaum yang seimbang, mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia serta memperlihatkan keterangkuman kepimpinan di peringkat tertinggi negara.

Penyertaan signifikan wakil dari Sabah dan Sarawak turut menyerlahkan prinsip Persekutuan, memastikan suara Malaysia Timur terus diangkat dalam proses membuat keputusan nasional.

Daripada segi menteri, seramai 17 orang berketurunan Melayu dilantik, diikuti lima Cina, dua India, lima Bumiputera Sarawak dan tiga Bumiputera Sabah.

Komposisi timbalan menteri pula menyaksikan 10 wakil Melayu, lima Cina dan dua India, selain tujuh Bumiputera Sarawak serta enam Bumiputera Sabah yang turut diberi peranan penting dalam pentadbiran negara.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan Kabinet itu dibuat berasaskan keupayaan dan pengalaman tanpa mengabaikan realiti masyarakat majmuk negara.

Susunan ini diyakini mampu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan khususnya dalam menjamin keterwakilan yang adil merentas kaum dan wilayah.

Selain itu, Kabinet Kerajaan MADANI turut mempamerkan keseimbangan generasi dengan gabungan pemimpin muda, pertengahan dan senior bagi memastikan kesinambungan dasar serta keupayaan menghadapi cabaran masa depan.

Untuk info, pembentukan Kabinet Kerajaan MADANI melibatkan kerjasama pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah selari dengan aspirasi perpaduan nasional.

Anda Mungkin Berminat