Oleh: Kamil Munim
ULASAN | Rombakan kabinet terbaru ini bukan sekadar pertukaran nama atau imbangan kuasa politik. Ia adalah mesej yang jelas tentang hala tuju kepimpinan negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Lebih penting lagi, tentang keberanian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memikirkan masa depan Malaysia melangkaui satu kitaran pilihan raya.
Ini adalah kabinet yang akan membawa negara menuju PRU16. Ia juga merupakan kabinet yang berkemungkinan mencerminkan sama ada Malaysia benar-benar bersedia melakukan peralihan generasi dalam kepimpinan nasional.

Dalam konteks ini, mesej Perdana Menteri jelas: negara tidak boleh terus dipimpin oleh formula lama, dengan wajah yang sama dan pendekatan yang kitar semula.
Rombakan ini wajar dilihat sebagai sebahagian daripada agenda regenerasi dan pembaharuan kepimpinan. Perdana Menteri menunjukkan kesediaan untuk memberi peluang kepada muka baharu yang muda, berpendidikan dan berkeupayaan.
Ianya bukan simbolik, tetapi sebagai pelaburan jangka panjang untuk negara dan membina lapisan pimpinan negara; satu usaha membina barisan pemimpin yang akan memikul tanggungjawab negara untuk 10 hingga 20 tahun akan datang.
Hakikatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dilantik sebagai menteri pada usia yang relatif muda pada zamannya. Minggu ini, beliau mengulangi kitaran itu dengan membuka ruang kepada generasi seterusnya.
Pelantikan tokoh muda seperti Dr Zulkifli Hasan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), antara menteri agama termuda dalam sejarah mencerminkan kepercayaan kepada kepakaran dan idea segar.

Dr Zulkifli, berusia di bawah 50 tahun, bukan sekadar simbol generasi baharu, tetapi seorang tokoh yang sangat layak dan berpengalaman, seorang ilmuwan dan pendidik, dengan pengalaman terdahulu sebagai timbalan menteri.
Dikenali sebagai seorang yang rajin dan tekun, pelantikan beliau mencerminkan gabungan antara kepakaran, pengalaman pentadbiran dan tenaga generasi baharu yang amat diperlukan dalam kepimpinan negara.
Begitu juga dengan pelantikan Naib Ketua AMK Malaysia Saudara Taufiq Johari, Ahli Parlimen berusia 29 tahun yang selari dengan dasar Kerajaan Malaysia menurunkan had umur belia kepada 30 tahun bermula tahun hadapan.
Tidak ketinggalan juga dengan pelantikan seorang lagi pemimpin muda AMK iaitu Saudara Chiew Choon Man sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang berusia 34 tahun. Ia bukan sahaja simbolik kepada komitmen kerajaan MADANI terhadap agenda pemerkasaan belia tetapi juga memberi isyarat supaya belia diberikan peluang dan ruang untuk memimpin dan bekerja serta memainkan peranan penting dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Bahkan komitmen yang sama juga ditonjolkan oleh Perdana Menteri apabila memposisikan seorang lagi tokoh muda Saudara Akmal Nasrullah Mohd Nasir berusia 39 tahun yang diberi kepercayaan dan amanah untuk menerajui portfolio penting di Kementerian Ekonomi dan Saudara Yuneswaran Ramaraj, pemimpin muda berusia 38 tahun sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Perpaduan Negara.
Sudah tentu, kabinet ini tidak terlepas daripada kritikan. Isu perwakilan wilayah dan sentimen perkauman segera dimainkan oleh pemimpin politik yang tandus hujah melainkan terus berpaut kepada sentimen kaum yang jumud untuk mencipta persepsi tidak senang dikalangan orang melayu.
Namun, pendekatan Perdana Menteri jelas menunjukkan bahawa pertimbangan utama bukan warna kulit atau kepartian semata-mata.
Dalam portfolio Wilayah Persekutuan, misalnya, penglibatan Timbalan Menteri dari Sabah adalah munasabah dan signifikan, memandangkan Labuan adalah sebahagian daripada Wilayah Persekutuan. Kehadiran wakil Sabah dalam portfolio ini bukan kelemahan, bukan juga suatu bentuk konsensus politik tetapi kekuatan yang mencerminkan realiti persekutuan Malaysia.
Malah, sepanjang hampir tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, Perdana Menteri secara konsisten mengimbangi kepentingan politik Sabah, termasuk melibatkan wakil GRS dan Warisan dalam pentadbiran, walaupun keputusan pilihan raya negeri tidak sepenuhnya memihak kepada Kerajaan Persekutuan. Ini jelas bukti Perdana Menteri menghormati struktur persekutuan dan suara rakyat Sabah.

Pelantikan Hannah Yeoh menjadi titik tolak yang paling dipertikaikan, namun ia wajar dinilai berdasarkan fakta dan rekod perkhidmatan, bukan prasangka.
Propaganda serta persepsi jelik dan jelak pihak musuh iaitu Kuala Lumpur kini dijual kepada orang Cina amat mendukacitakan apabila peluru perkauman terus menerus digunakan untuk menyerang tokoh tertentu.
Hannah kini diberikan tugas baharu sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, portfolio yang berada di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri yang mana sebarang keputusan melibatkan dasar harus dimuktamadkan melalui mesyuarat jemaah Menteri, bukan melalui kuasa menteri sepenuhnya.
Beliau pernah mencipta sejarah sebagai Speaker wanita pertama dalam sejarah Malaysia apabila dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, suatu jawatan yang sebelum itu tidak pernah dipegang oleh seorang Wanita.
Walaupun ada yang menimbulkan ketakutan kononnya seorang Speaker berbangsa Cina akan meminggirkan kepentingan orang Melayu, realitinya di bawah kepimpinan beliau, DUN Selangor diiktiraf sebagai non-partisan, profesional dan berwibawa, sehingga pembangkang sendiri menghormati integriti beliau.
Rekod beliau sebagai wakil rakyat juga membuktikan bahawa khidmat awam tidak harus dinilai melalui lensa prasangka kaum. Di kawasannya terdapat Kampung Sungai Penchala, sebuah kampung melayu yang bukan sahaja tidak terpinggir, malah diperjuangkan oleh beliau untuk diiktiraf sebagai kampung warisan Melayu.
Penilaian penduduk setempat dibuat berdasarkan kerja dan khidmat, bukan sentimen perkauman. Sikap saling menghormati yang sering dipamerkan beliau ketika bergaul dalam acara melibatkan komuniti Melayu dan Islam turut terserlah, bukan untuk mengubah identiti, tetapi sebagai tanda hormat terhadap sensitiviti melayu dan Islam. Inilah contoh kepimpinan matang dalam masyarakat majmuk: dinilai berdasarkan sumbangan dan integriti, bukan identiti.
Memberi peluang kepada muka baharu tidak bermakna memberikan imuniti. Jika mereka gagal berprestasi, rakyat akan menilai dan menghukum melalui proses demokrasi. Peluang diberi, prestasi dinilai, dan rakyat menjadi hakim terakhir.

Bagi mereka yang kini memegang portfolio dasar yang lebih berat seperti pendidikan tinggi yang digalas oleh sahabat saya Saudara Adam Adli, pelantikan ini harus dilihat sebagai proses pendewasaan politik.
Dahulu orang muda dan aktivis berdebat dan berkempen; hari ini kami diuji dengan tanggungjawab melaksanakan dasar. Inilah peralihan yang perlu dilalui jika Malaysia mahu melahirkan pemimpin yang bukan sahaja lantang bersuara, tetapi mampu mentadbir dengan matang.
Meskipun sering diperlekeh dan disindir tentang isu PTPTN, namun tidak dapat disangkal apabila perjuangan panjang itu sudah mula membuahkan hasil awal apabila Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan Madani tempoh hari telah mengumumkan PTPTN percuma kepda 5,800 pelajar daripada keluarga miskin berpendapatan di bawah RM2,705.00 sebulan yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM120 juta.
Naratif bahawa satu parti tertentu “menguasai” kabinet juga perlu diperbetulkan dengan fakta. Walaupun DAP mempunyai lebih banyak kerusi Parlimen berbanding UMNO, jumlah menteri dan timbalan menteri yang diterima oleh UMNO adalah lebih besar, manakala DAP hanya menerima bilangan yang kecil mengikut kadar perwakilan di Parlimen.
Namun, fakta ini jarang diketengahkan kerana ia tidak menyokong retorik perkauman yang sering dimainkan. Apabila fakta tidak seiring dengan naratif, maka fakta itu sengaja disenyapkan.
Kesimpulannya, tiada kabinet yang sempurna. Setiap pelantikan membawa risiko dan cabaran. Namun, keberanian sebenar dalam kepimpinan ialah kesediaan memberi peluang, memantau prestasi, dan bersedia dinilai.
Kabinet ini bukan tentang siapa paling lama atau paling lantang, tetapi tentang siapa yang sanggup memikul tanggungjawab untuk masa depan negara. Inilah erti sebenar kabinet regenerasi: berani memilih masa depan, dan bekerja melaksanakan kata-kata.
***Penulis adalah Setiausaha Menteri Kewangan dan juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia







