Kabinet Setuju Hadkan Tempoh Jawatan Perdana Menteri kepada Dua Penggal

PETALING JAYA: Cadangan dasar bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal penuh dipersetujui Jemaah Menteri semalam.

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beberapa pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan akan dilakukan bagi mengukuhkan pelaksanaan cadangan tersebut.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri meneliti secara menyeluruh input dasar, pandangan awam serta syor yang dikemukakan menerusi sesi libat urus holistik dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.

“Cadangan ini bertujuan mengelakkan penumpuan kuasa yang berlebihan, memperkukuh sistem demokrasi serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi kepimpinan negara, selaras dengan amalan demokrasi matang di peringkat antarabangsa,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Januari lalu memaklumkan bahawa kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.

Beliau berkata, RUU berkenaan merupakan antara langkah reformasi institusi yang akan dilaksanakan kerajaan sebagai hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat