PUTRAJAYA: Kabinet menyatakan sokongan penuh terhadap pelan reformasi yang dibentangkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin bagi memperkukuh tadbir urus serta membanteras rasuah dalam kementeriannya.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pembentangan tersebut telah diterima baik oleh barisan Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada Rabu.
“Beliau (Khaled Nordin) memberi kemas kini dan maklum balas mengenai beberapa isu kebelakangan ini yang melibatkan angkatan tentera.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengambil maklum penjelasan yang dikemukakan semalam (Selasa) dan secara keseluruhan, pembentangan tersebut diterima dengan baik oleh Kabinet,” katanya pada sidang media mingguan selepas mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Terdahulu, Khaled memaklumkan bahawa kementeriannya akan melaksanakan rombakan besar-besaran serta melancarkan kempen antirasuah berskala besar susulan penahanan seorang bekas panglima tentera oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mencetuskan perhatian awam.
Kementerian Pertahanan turut menjadi tumpuan selepas laporan media mengenai dakwaan beberapa pegawai pertengahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terlibat dalam aktiviti tidak bermoral di sebuah pangkalan udara.
Menurut Khaled, antara fokus utama reformasi itu adalah memperkemas proses perolehan bagi meningkatkan ketelusan dan integriti dalam pengurusan kementerian.








