PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini meneliti kenyataan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang menyatakan Russia bertanggungjawab atas insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh pada 2014.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah memaklumkan kepada Kabinet bahawa satu kenyataan balas berhubung perkara itu akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.
“Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Wisma Putra akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa satu atau dua hari,” katanya dalam sidang media mingguan Kementerian Komunikasi.

ICAO, agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebelum ini menyatakan pihaknya akan mempertimbang bentuk pampasan yang wajar dalam beberapa minggu akan datang susulan insiden tragik itu.
Untuk rekod, pesawat MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 telah ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine ketika konflik bersenjata antara kumpulan pemisah pro-Russia dan tentera Ukraine.
Pada November 2022, dua warga Russia dan seorang warga Ukraine didapati bersalah oleh mahkamah Belanda atas tuduhan membunuh.
Baca juga: