PUTRAJAYA: Kabinet bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat kontroversi dakwaan pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Jemaah Menteri telah membincangkan isu berkaitan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan memutuskan supaya satu jawatankuasa khas yang diketuai Ketua Setiausaha Negara menyiasat dakwaan yang dibangkitkan.
“Selepas siasatan selesai, laporan akan dibentangkan kepada Kabinet untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media mingguan selepas mesyuarat Kabinet pada Jumaat.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan ketelusan dan integriti dalam proses siasatan.
Ditanya sama ada Kabinet membincangkan cadangan menggantung tugas Azam sementara siasatan dijalankan, beliau menjelaskan perkara itu tidak dibangkitkan.
“Kita serahkan kepada Ketua Setiausaha Negara dan jawatankuasa khas untuk meneliti perkara ini,” katanya.
Kontroversi tercetus selepas laporan Bloomberg mendakwa kemungkinan berlaku pelanggaran peraturan kerajaan berkaitan pegangan saham.
Azam bagaimanapun menegaskan pemerolehan saham dibuat secara telus dan tidak melanggar undang-undang.
Beliau turut menyatakan tidak lagi memiliki sebarang saham dalam mana-mana syarikat, malah akaun dagangannya kini kosong dan boleh disahkan melalui Bursa Malaysia.
Azam juga memulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg atas dakwaan yang disifatkannya sebagai fitnah serta menjejaskan reputasi beliau dan SPRM.
Sehari kemudian, Bloomberg menerbitkan satu lagi laporan yang mengaitkan SPRM dengan rangkaian ‘mafia korporat’.
Mengulas lanjut, Azam berkata, beliau bersedia disiasat oleh jawatankuasa bebas kerajaan.
“Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.
“Siasatan bebas dan telus penting bagi mempertahankan integriti peribadi serta mengekalkan keyakinan awam terhadap SPRM sebagai sebuah institusi,” katanya.








