PETALING JAYA: Kadar Pemberian Mengikut Bilangan atau ‘Capitation Grant’ kepada kerajaan negeri diluluskan kenaikan 25 peratus iaitu RM109 juta kepada RM548 juta.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2025 di Kompleks Kementerian Kewangan yang dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
“Ini merupakan kali pertama kadar Capitation Grant ini disemak sejak tahun 2002.
“Secara keseluruhan, Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri ditingkatkan lagi kepada RM9.8 bilion untuk tahun 2025, berbanding RM9.3 bilion pada tahun lalu.
“Perdana Menteri berkata peningkatan peruntukan ini adalah penting untuk membantu Kerajaan Negeri menyempurnakan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan melalui Facebook PMO Malaysia pada Khamis.
Tambahnya, Anwar juga menegaskan Kerajaan MADANI terus bertekad untuk memastikan hubungan dengan semua Kerajaan Negeri kekal utuh demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, jemaah Menteri-menteri Besar dan barisan Ketua Menteri.