Kaitkan Hannah dengan YTL, Razman diminta hentikan politik murahan

PETALING JAYA: Dakwaan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan pengasas kumpulan YTL dilihat tidak disenangi oleh beberapa pemimpin politik.

Sebelum ini, Hannah sendiri bertindak membidas kenyataan itu dengan menegaskan bahawa, tidak semua individu yang memiliki nama ‘Yeoh’ berkait rapat dengan pengasas YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay.

Terbaharu, Setiausaha DAP Segambut, Muhammad Khairil Khalid tampil mempertahankan Hannah dengan menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab.

Muhammad Khairil berkata, meskipun Razman sudah mengakui kesilapan dan membuat permohonan maaf, namun insiden itu jelas mencerminkan sikap sambil lewa dan kecuaian yang tidak sewajarnya diamalkan oleh seorang pemimpin politik.

Apatah lagi, katanya, ia bukan kali pertama pemimpin PAS membuat kenyataan tidak berasas dan akhirnya memalukan diri sendiri.

Ini dibuktikan apabila Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad yang telah kalah dalam kes saman fitnah difailkan oleh tiga pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok.

“Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kenyataan fitnah yang mengaitkan mereka dengan mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng adalah dibuat tanpa sebarang bukti dan berniat jahat. Ini sewajarnya diambil iktibar oleh para pimpinan PAS yang lain,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Razman mengakui terkhilaf apabila mengaitkan Hannah dengan konglomerat YTL.

Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi 19 saat memaparkan ucapan pemimpin PAS menyifatkan Hannah sebagai ‘anak YTL’ pada Ceramah Kebangkitan Rakyat di Seri Iskandar, dekat Parit, Perak pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Khairil mengingatkan PAS supaya menghentikan amalan fitnah, yang seterusnya membuatkan rakyat berasa jemu dengan permainan politik kotor sedemikian.

Jelasnya, politik tidak seharusnya menjadi medan untuk mencipta sensasi atau menyebar tuduhan palsu, sebaliknya ia sepatutnya menjadi ruang perbincangan yang rasional dan berlandaskan fakta dalam mencari penyelesaian kepada isu-isu dihadapi rakyat.

“Kami ingin menegaskan bahawa politik yang berteraskan fitnah dan provokasi hanya akan merugikan semua pihak.

“Seorang pemimpin yang berintegriti dan berakhlak mulia harus memikul tanggungjawab penuh terhadap setiap kenyataan yang dikeluarkan dan memastikan segala maklumat yang disampaikan adalah berasaskan fakta.

“Kami menyeru agar semua pihak menghentikan politik murahan sebegini. Fokuslah pada isu-isu yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Jangan sia-siakan masa rakyat dengan sandiwara politik yang hanya menyuburkan kebencian,” tegasnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat