GAZA: Kos sebenar peperangan genosid Israel ke atas Semenanjung Gaza telah jauh melampaui anggaran rasmi sebelum ini, dengan penyelidikan bebas yang diterbitkan dalam jurnal perubatan terkemuka dunia mengesahkan lebih daripada 75,000 ‘kematian ganas’ menjelang awal 2025.
Memetik laporan Al Jazeera, penemuan itu, yang muncul daripada siri makalah saintifik bersejarah, menunjukkan bahawa rekod pentadbiran Kementerian Kesihatan Gaza (MoH) merupakan ‘paras minimum’ dan bukannya terlebih kiraan, sekali gus menyediakan asas kukuh terhadap skala kehilangan rakyat Palestin.
Kajian Kematian Gaza (Gaza Mortality Survey, GMS), iaitu kajian isi rumah berwakil populasi yang diterbitkan dalam The Lancet Global Health, menganggarkan 75,200 ‘kematian ganas’ antara 7 Oktober 2023 hingga 5 Januari 2025.
Angka itu mewakili kira-kira 3.4 peratus daripada populasi pra-konflik Gaza seramai 2.2 juta orang dan 34.7 peratus lebih tinggi daripada 49,090 ‘kematian ganas’ yang dilaporkan oleh MoH bagi tempoh sama.
Kementerian Kesihatan Gaza menganggarkan bahawa sehingga 27 Januari tahun ini, sekurang-kurangnya 71,662 orang telah terbunuh sejak perang bermula.
Daripada jumlah itu, 488 orang terbunuh selepas pengisytiharan gencatan senjata di Gaza pada 10 Oktober 2025.
Israel secara konsisten mempersoalkan angka kementerian tersebut, namun seorang pegawai tentera Israel memberitahu wartawan di negara itu pada Januari bahawa tentera menerima hakikat bahawa kira-kira 70,000 orang telah terbunuh di Gaza sepanjang perang.
Walaupun angka lebih tinggi dicatatkan, para penyelidik menekankan bahawa komposisi demografi mangsa di mana wanita, kanak-kanak dan warga emas merangkumi 56.2 peratus daripada mereka yang terbunuh kekal konsisten dengan laporan rasmi Palestin.








