PETALING JAYA: Biasanya kita suka menonton Che Nom, Khairul Aming dan Che Sayang untuk belajar pelbagai resipi masakan.
Video mereka sering mencapai jutaan tontonan.
Namun, seorang warga emas dikenali sebagai Kak Chik Yah kini mula mendapat perhatian di TikTok.
Video Kak Chik Yah berbeza dengan figura lain yang mempunyai kualiti video HD, efek khas dan audio yang jelas.
Menurut netizen, walaupun kualiti video Kak Chik Yah kurang baik, pendekatan semula jadinya yang memasak gaya orang lama membuatkan kita mengimbau kenangan bersama datuk dan nenek yang dirindui.
“Terasa macam ‘video call’ (vc) dengan nenek saya,” komen seorang netizen.
“Tengok kakchik Yah teringat arwah atok,” kata yang lain.
“Sempoi lah kakchik yah,” ujar seorang lagi.
“Mesti ramai dalam ni tengok Cik Yah sebab rindu toknyang,” tambah netizen lain.
Biarpun memasak menu kampung, video perkongsian Kak Chik Yah tetap viral dan mula mendapat perhatian beberapa selebriti yang meninggalkan komen di videonya.
Sehingga kini, Kak Chik Yah mempunyai 141, 300 pengikut dan videonya telah ditonton jutaan kali.
Kalau Khairul Aming terkenal dengan “Hey Wassup Guys!”, Kak Chik Yah memikat hati dengan “Mola-Mola”.