Kakak Bella ditahan kerana dedah wajah saksi pembunuhan adiknya

Polis menahan seorang wanita berusia 36 tahun yang dipercayai kakak kepada mangsa pembunuhan, Bella kerana menyiarkan gambar kanak-kanak secara langsung menerusi aplikasi TikTok awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata polis menerima laporan yang memaklumkan gambar anaknya yang berusia empat tahun disiarkan oleh wanita berkenaan menerusi live di TikTok.

“Kanak-kanak tersebut merupakan saksi kes pembunuhan yang berlaku pada hujung tahun lalu di daerah ini.

“Suspek sudah ditahan untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Ismail turut menyatakan telefon bimbit suspek yang digunakan untuk bersiaran langsung di TikTok juga dirampas untuk siasatan lanjut.

Suspek direman selama sehari bermula Rabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, Bella atau nama sebenarnya Mila Shamila Samsusah dilaporkan hilang dan gagal dihubungi selepas keluar dari rumah menaiki kereta milik teman lelakinya pada 11.50 malam 14 Disember tahun lalu.

Polis kemudiannya menemui rangka manusia tidak sempurna di dalam sebuah rumah yang terbiar di Tongkang Pechah, Batu Pahat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kehilangan Bella.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat