PETALING JAYA: Suasana politik dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kembali ‘hangat’ apabila seorang aktivis wanita parti, Datin Faizah Ariffin tampil mencabar Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, supaya mengosongkan kerusi yang disandangnya.
Cabaran itu dibuat susulan tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli yang sebelum ini mengumumkan pengunduran dirinya daripada PKR serta melepaskan kerusi Parlimen Pandan atas alasan prinsip.
Dalam satu hantaran di Facebook, Faizah berkata, jika benar Rodziah berpegang pada prinsip, beliau seharusnya mencontohi langkah Rafizi.
“Kalau Rodziah ada prinsip ‘so’ keluar parti dan kosongkan kerusi Ampang… Jangan jadi duri dalam daging,” katanya.
Faizah turut mengingatkan bahawa Rafizi sendiri mendakwa pengunduran beliau adalah kerana menghormati mandat rakyat yang memilih atas nama PKR.
“Kalau Rafizi kata dia kosongkan kerusi sebab prinsip hormat kerana menang atas nama PKR maka Rodziah patut buat perkara yg sama… Kalau itu yg nakkan sangat…” katanya.
Nada cabaran itu semakin tegas apabila Faizah menyifatkan tindakan bercakap lain tetapi berbuat lain sebagai tidak berprinsip.
“Kalau Rodziah ada maruah maka saya cabar kosongkan kerusi Ampang… Jangan cakap berdolak dalik… Cakap lain tapi buat lain… Munafik namanya tu…” katanya lagi.
Beliau sekali lagi mengulangi cabaran terhadap Rodziah.

“Saya (Faizah Ariffin) cabar Rodziah kosongkan kerusi Ampang…” katanya lagi.
Terdahulu, selain Rodziah, empat pemimpin lagi adalah Wong Chen (Subang), Datuk Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya) turut bergambar bersama bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam program pengumuman mereka keluar parti, pada Ahad lalu.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, Biro Politik PKR akan bincangkan sama ada tindakan perundangan boleh dikenakan terhadap kelima-lima Ahli Parlimen berkenaan.








