‘Kalau Sudah Tak Senada Dengan Parti, Keluarlah’ – Syed Badli

KUALA LUMPUR: Mana-mana individu yang tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti wajar berundur secara terhormat bagi mengelakkan menjadi ‘barah’ yang boleh menjejaskan kestabilan dalaman, kata Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman

Beliau berkata, PKR kekal sebagai wadah terbuka yang menghormati hak setiap anggota untuk membuat pilihan sendiri.

“Parti ini tidak akan menghalang sesiapa untuk meninggalkan perjuangan kerana itu adalah hak masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Namun beliau berkata, ancaman sebenar kepada parti bukanlah daripada mereka yang keluar, sebaliknya daripada individu yang bertindak sebagai ‘duri dalam daging’.

“Tidak timbul isu kononnya parti akan menjadi lemah jika ada yang keluar.

“Sebaliknya, barah dalam parti yang merosakkan dari dalam adalah ancaman sebenar,” katanya.

Syed Badli turut mengingatkan bahawa sepanjang 27 tahun perjuangan, PKR telah melalui pelbagai fasa termasuk kemasukan dan pemergian anggota.

Menurutnya, ada yang menyumbang kepada kekuatan parti dan ada pula yang meninggalkan kesan sebaliknya.

Beliau mengimbas kembali episod sukar termasuk insiden pengkhianatan, namun menegaskan PKR berjaya bangkit dan terus kukuh sehingga membentuk kerajaan.

“Justeru, mana-mana pihak yang sudah tidak senada dengan parti, keluarlah dengan cara yang terhormat kerana barah yang merosak akhirnya akan membunuh sekujur tubuh,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Cabang PKR Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, menyifatkan gesaan agar beliau keluar parti sebagai sesuatu yang berbahaya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan, sekiranya beliau meninggalkan PKR, beliau tidak akan berdiam diri bahkan akan lebih bebas dan kuat bersuara.

Anda Mungkin Berminat