MERLIMAU: Penduduk di Pantai Siring, Merlimau, digemparkan dengan penemuan kalimah ‘Allah’ dalam tulisan jawi di sebuah tokong di Jalan Jeti Anjung Batu, malam tadi.
Kejadian itu mula disedari sekumpulan pemancing sebelum dilaporkan kepada Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman, yang bergegas ke lokasi untuk membuat pengesahan.
Menurut beliau, pemeriksaan sekitar pukul 11 malam mendapati tokong berkenaan merupakan binaan batu di kawasan hutan paya bakau berhampiran tanah berpagar milik individu.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati tokong ini dipercayai telah wujud sejak dua hingga tiga tahun lalu, namun tulisan kalimah ‘Allah’ serta ‘Bismillahirrahmanirrahim’ dalam tulisan jawi hanya dikesan malam ini.
“Saya telah minta pihak penguatkuasa untuk buat langkah seterusnya selain saya juga minta penduduk untuk bertenang dan tidak membuat sebarang andaian,” katanya.
Rahmad berkata, isu melibatkan sensitiviti agama seperti ini berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum.
Justeru katanya, pihak polis telah diminta melakukan kawalan sementara di kawasan berkenaan.
Perbincangan segera turut diadakan melibatkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), polis serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi menyelaras tindakan lanjut.
Beliau turut memaklumkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Atan, telah diminta berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi tindakan penguatkuasaan sekiranya pembinaan itu didapati tidak mendapat kelulusan.
“Saya mahu pemilik tanah melihat sendiri keadaan di lokasi sebelum sebarang tindakan diambil, selain meneliti sama ada kawasan ini melibatkan rizab pantai yang tidak membenarkan sebarang pembinaan tanpa kelulusan,” katanya.
Rahmad berkata, siasatan lanjut akan dijalankan oleh JAIM dan polis bagi mengenal pasti punca kejadian serta pihak yang bertanggungjawab.
“Langkah siasatan ini penting bagi memastikan isu ini tidak mencetuskan sebarang ketegangan dalam kalangan masyarakat,” tambahnya.








