HANYA tinggal 243 kilometer sahaja lagi bagi peserta Global Sumud Flotilla (GSF) menghampiri Gaza, kata aktivis kemanusiaan, Musa Nuwayri.
Beliau bersama 33 peserta lain hanya mengharapkan doa daripada rakyat Malaysia untuk sampai ke sana.
“Dengan 243km berbaki dengan anggaran masa 1 hari dan 5 jam sahaja lagi. Doa, doa, doa,” tulisnya di laman media sosial kira-kira 2.30 petang hari ini.
Sementara itu, menurut Jawatankuasa Induk Pusat Kawalan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), flotila tersebut kini berada di zon kuning dan dijangka memasuki zon merah sekitar pukul 5 petang waktu Malaysia.
Jurucakapnya, Adibah Razali berkata strategi keselamatan termasuk pergerakan kapal secara berkelompok selain pengaktifan protokol keselamatan. Sukarelawan juga telah menjalani latihan berulang kali bagi menghadapi sebarang situasi.
“Berdasarkan pemantauan pusat kawalan, terdapat beberapa kemungkinan bentuk sekatan atau cubaan pencegahan, khususnya pada waktu malam. Namun, persediaan turut dibuat bagi menghadapi sebarang kemungkinan di siang hari,” katanya pada Rabu.
Baca juga:








