PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Johor menegaskan kesediaan penuh untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkuat kuasa pada Isnin.
Dalam kenyataan media, PH Johor menyifatkan langkah pembubaran itu bukan sesuatu yang mengejutkan.
“Dari awal lagi PH telah menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan membubarkan DUN dalam masa terdekat.
“Dan ternyata sidang DUN yang diumumkan akan diadakan pada 22 Jun nanti adalah ‘tidak masuk akal’ sama sekali,” kata bersama oleh Aminolhuda Hassan (Pengerusi AMANAH Johor), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (Pengerusi PKR Johor), dan Teo Nie Ching (Pengerusi DAP Johor).
PH Johor turut menekankan komitmen untuk meneruskan persiapan menghadapi PRN dengan semangat demokrasi.
“Atas semangat demokrasi, PH akan meneruskan persiapan sedia ada bagi menghadapi pilihan raya ini,” kata kenyataan itu lagi.
Gabungan itu juga akan membawa perbincangan ke peringkat Majlis Presiden PH Pusat bagi merangka strategi seterusnya.
“PH Johor juga akan memanjangkan perbincangan ke peringkat Majlis Presiden PH Pusat bagi merangka langkah seterusnya,” katanya.
PH Johor turut berkata, cabaran PRN tidak boleh dipandang ringan.
“Bagi kami, tidak ada pilihan raya yang mudah. PH siap sedia menggembleng usaha sebaik mungkin untuk memenangi PRN kali ini,” katanya.








