KUALA LUMPUR: Pelaksanaan subsidi bersasar dan peluasan skop cukai perkhidmatan bukan bertujuan membebankan rakyat, sebaliknya langkah penting bagi menjamin masa depan kewangan negara yang lebih mampan dan adil.
Menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, majoriti besar rakyat tidak akan terkesan dengan penyasaran semula subsidi, kerana ia hanya menyasar golongan berkemampuan yang selama ini turut menerima subsidi tanpa kelayakan.

“Majoriti besar rakyat tidak terkesan dengan penyasaran semula subsidi. Ini adalah usaha untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak terus menerima bantuan kerajaan,” tegas Kamil
Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa peluasan cukai perkhidmatan akan meningkatkan kos sara hidup secara melampau.
“Peluasan skop SST tidak melibatkan barang asas. Rakyat tidak perlu bimbang kerana barangan keperluan harian kekal dikecualikan,” jelasnya.

Tambah Kamil, langkah-langkah fiskal ini adalah keperluan strategik untuk memastikan kewangan negara kekal kukuh, sekali gus membuka ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan lebih banyak inisiatif dan bantuan bersasar kepada rakyat.
“Langkah-langkah pengukuhan fiskal ini penting bagi memastikan kewangan negara berada dalam kedudukan baik, dan membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak inisiatif untuk rakyat,” katanya.
Menurut beliau lagi, penyasaran subsidi turut memainkan peranan besar dalam mengatasi ketirisan, kebocoran dan pembaziran dana awam yang selama ini menjadi punca utama kepada ketidakefisienan perbelanjaan negara.
“Langkah penyasaran juga penting bagi membendung kebocoran serta pembaziran dana kerajaan. Ia akan menjimatkan wang negara supaya dapat dipulangkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif,” jelas beliau.
Kenyataan tersebut hadir sebagai respons kepada gesaan Perikatan Nasional (PN) yang meminta kerajaan menangguhkan penyasaran subsidi dan membatalkan peluasan skop cukai perkhidmatan yang diumumkan dalam perancangan fiskal semasa.
Baca juga: