PETALING JAYA: Program Komuniti Korektif Kampung Angkat MADANI anjuran Jabatan Penjara Malaysia (JPM) diyakini memberi impak besar kepada masyarakat setempat melalui pembangunan prasarana dan pemulihan komuniti.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata setiap kampung yang terpilih akan menerima dana RM1 juta untuk menaik taraf, membaiki dan membina pelbagai kemudahan demi kesejahteraan penduduk.
“Ini bukan janji kosong, tetapi sesuatu yang benar-benar boleh dirasai oleh masyarakat,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Di Kampung Teluk Nipah, Kota Kuala Muda yang dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI, penduduk sudah menikmati hasil pelaksanaan program termasuk jeti nelayan yang dibaik pulih, sekolah tahfiz ditambah baik serta prasarana asas lebih tersusun.
Menurut beliau, inisiatif ini bukan sekadar pembangunan fizikal, sebaliknya turut membuka peluang kedua kepada prospek melalui latihan kemahiran, pemulihan spiritual dan integrasi sosial.
“Program ini menyentuh dua sisi penting, iaitu pembangunan kampung dan pemulihan insan. Ia membuktikan masyarakat dan jabatan boleh berganding bahu ke arah kebaikan bersama,” tambah beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan usaha tersebut serta berharap manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan oleh komuniti.
Program Komuniti Korektif Kampung Angkat MADANI merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah kerangka Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan seimbang masyarakat serta pemulihan banduan melalui penglibatan sosial.
Baca juga: