PARLIMEN | Status tanah Kampung Baru sekali lagi menjadi tumpuan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa tampil memperjelas bahawa kawasan bersejarah itu tidak tertakluk di bawah Enakmen Tanah Rizab Melayu, sebaliknya diwartakan sebagai Kawasan Penempatan Pertanian Melayu atau Malay Agricultural Settlement (M.A.S) sejak tahun 1900.
Penjelasan itu dibuat susulan kekeliruan berterusan dalam kalangan masyarakat dan Ahli Parlimen yang menganggap Kampung Baru sebagai tanah rizab Melayu, sedangkan ia berbeza dari sudut perundangan.
“Kampung Bharu, Kuala Lumpur merupakan kawasan yang dirizabkan sebagai kawasan Penempatan Pertanian Melayu atau (M.A.S).
“Serta diwartakan pada 12 Januari 1900 menggunakan peruntukan seksyen 6, Enakmen Tanah 1897 melalui Kaedah-Kaedah M.A.S (Kuala Lumpur) 1950 serta tidak tertakluk kepada Enakmen Rizab Melayu.
“Tanah ini mempunyai sekatan kepentingan yang tidak membenarkan orang bukan Melayu memiliki serta menghuni,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin berhubung cabaran pembangunan tanah rizab Melayu di Kampung Baru.
Dr Zaliha menjelaskan bahawa walaupun tanah M.A.S mempunyai sekatan kepentingan yang membenarkan pemilikan dan penempatan oleh orang Melayu sahaja, ia tetap tidak diklasifikasikan sebagai Tanah Rizab Melayu dari segi undang-undang.
Beliau turut memaklumkan bahawa sehingga tahun 2025, keluasan Tanah Rizab Melayu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah sebanyak 2,480 ekar atau 1,004 hektar, meliputi kawasan Segambut, Selayang, Sungai Penchala, Taman Desa dan Gombak.
“Tanah Rizab Melayu di Kuala Lumpur adalah tertakluk di bawah peruntukan Enakmen Rizab Melayu [F.M.S Cap 142], sebagaimana terpakai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melalui Perintah (Ubahsuaian Enakmen Rizab Melayu) Wilayah Persekutuan 1974 [P.U.(A) 60/1974]),” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau mendedahkan bahawa pemilikan tanah yang terlalu ramai menjadi antara cabaran utama dalam pembangunan semula Kampung Baru kerana ia memerlukan persetujuan menyeluruh daripada semua pemilik.
“Sebahagian tanah rizab Melayu merupakan tanah pusaka yang telah diwarisi sejak turun-temurun daripada satu generasi ke generasi yang seterusnya.
“Keadaan ini menyebabkan satu lot tanah dimiliki oleh puluhan hingga ratusan individu, kita dapati pemilikan bertindih sehingga 256 orang dalam satu lot seluas 8,700 kaki persegi yang berdaftar sebagai pemilik bersama.
“Sekiranya terdapat seorang pemilik tidak bersetuju dengan tawaran pembangunan, ianya boleh menggagalkan proses urus niaga atau pembangunan semula yang dicadangkan,” katanya.
Dalam aspek nilai pasaran, Dr Zaliha menjelaskan bahawa tanah rizab Melayu mempunyai keterbatasan kerana sekatan kepentingan yang melarang pindah milik kepada bukan Melayu, sekali gus membataskan minat pelabur dan pasaran hartanah terhadap unit-unit yang dijual.
Justeru, katanya, Kerajaan Madani komited untuk memastikan pembangunan di kawasan Tanah Rizab Melayu khususnya di Wilayah Persekutuan, dilaksanakan secara lestari dan inklusif.
“Kerajaan akan guna pendekatan yang menyeluruh dan sensitif terhadap aspek budaya, ekonomi dan undang-undang serta dilaksanakan dengan melibatkan semua pihak berkepentingan secara telus dan berterusan,” ujarnya.








