KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Sungai Baru menzahirkan kekecewaan terhadap dakwaan tidak berasas yang dilemparkan terhadap projek pembangunan semula kawasan mereka, sambil menegaskan bahawa mereka telah menunggu hampir sembilan tahun untuk kembali ke kediaman baharu yang dijanjikan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus berkata, sepanjang tempoh penantian itu, pemaju tetap menunaikan tanggungjawab menyediakan rumah transit percuma di Residensi Kerinchi serta membayar sewa bulanan kepada penduduk yang enggan berpindah ke unit transit.
“Kalau rumah teres, sewa RM2,500. Flat satu bilik RM900, manakala dua bilik RM1,100. Bayaran ini dibuat tanpa gagal setiap bulan selama sembilan tahun,” katanya pada sidang akhbar di KL Gateway Mall pada Ahad.
Sanita turut menjelaskan bahawa penduduk tidak perlu membuat pinjaman bank kerana rumah gantian akan diberikan secara percuma apabila projek disiapkan.
Katanya, pemilik hanya perlu masuk ke rumah baharu tanpa sebarang bebanan kewangan tambahan.
“Kita kecewa projek ini lambat disiapkan tetapi kelewatan berpunca daripada isu mahkamah, bukan kerana pemaju tiada dana.
“Kita tahu proses mahkamah boleh ambil masa enam bulan hingga setahun,” katanya.
Menurut beliau, seramai 40 penduduk telah meninggal dunia sepanjang penantian itu dan ramai lagi yang kini berusia lanjut masih menunggu dengan penuh harapan agar projek dapat diselesaikan.
“Kami merayu hentikan fitnah. Kalau ada pihak tidak puas hati, sila ikut saluran undang-undang.
“Jangan ganggu projek kerana makcik-makcik di belakang saya sudah lama menunggu,” tegasnya.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru telah tertangguh sejak 2016 ekoran beberapa tindakan mahkamah, walaupun perjanjian pembangunan bersama (JDA) telah dimeterai lebih awal.
Sepanjang tempoh itu, pemaju terus mengekalkan bayaran sewa kepada penduduk yang berpindah keluar sementara menunggu projek direalisasikan.