DAMANSARA: Suasana cemas menyelubungi kawasan berhampiran Apartment Harmoni dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dilaporkan hilang dan dipercayai lemas di Sungai Damansara Damai, petang Sabtu.
Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh menerima panggilan kecemasan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pukul 4.30 petang.
Tidak menunggu lama, sebuah jentera FRT Sitrak, Hilux dan LOV bersama sembilan anggota digerakkan ke lokasi dan tiba hanya 12 minit kemudian.
Operasi turut mendapat sokongan Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) Shah Alam.
Menurut Komander Operasi, PBK I Rosdi Hainan, laporan awal menyebut mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai berhampiran Menara FINAS.
“Pasukan kami memulakan pencarian pada pukul 4.50 petang dengan menelusuri aliran sungai sejauh kira-kira satu kilometer sehingga ke Jalan Sungai Buloh.
“Pencarian tiba di lokasi tersebut pada pukul 6.05 petang,” katanya.
Selepas itu, Ketua Balai bersama anggota BBP Sungai Buloh dan PPDA Shah Alam berkumpul di kawasan Kilang Lot 947-A, Jalan Subang, Kampung Baru Sungai Buloh untuk menyusun strategi operasi seterusnya.
Operasi bantuan PPDA ditangguhkan pada pukul 7.30 malam kerana faktor keselamatan, namun pencarian darat diteruskan oleh Crew A sehingga lewat malam.
Pemantauan dilakukan di sekitar jejantas Jalan Industri hingga ke jambatan Ideal Naluri sehingga pukul 12.01 tengah malam.
Sekiranya tiada petunjuk baharu ditemui, operasi akan disambung semula pagi ini dengan bantuan tambahan daripada PPDA Shah Alam serta unit K9.








