Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 bangunan Blok B, Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh pada Ahad.
Kejadian dilaporkan kepada pihak polis pada pukul 4.28 petang sebelum sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh digerakkan ke lokasi.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, mangsa yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, hasil soal siasat awal ke atas ibu bapa mangsa yang berusia 30-an mendapati mereka sekeluarga sedang tidur dan dipercayai tidak menyedari mangsa memanjat tingkap yang terletak di ruang tamu.
“Ibu mangsa yang bangun, dia mendapati anaknya sudah berada di bahagian luar tepi tingkap ruang tamu yang terbuka dan tidak sempat mendapatkan anaknya sebelum kanak-kanak itu terjatuh.
“Mangsa berusia empat tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang turut hadir di lokasi,” katanya.
Mohd Hafiz berkata, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk merekod keterangan ibu bapa mangsa.
Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Mohd Hafiz berkata, polis meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini untuk tampil membantu siasatan.
Baca juga: