Kanak-Kanak Digigit Anjing Kini Stabil, Polis Siasat Pemilik Haiwan

CHERAS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera selepas digigit seekor anjing di sebuah taman perumahan di Batu 9 Cheras, pada Rabu.

Kejadian yang tular di media sosial itu mencetuskan kebimbangan orang ramai, namun mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Insiden berlaku ketika mangsa sedang bermain berhampiran rumahnya sebelum diserang secara tiba-tiba oleh seekor anjing yang dipercayai berkeliaran di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada abang mangsa berusia 20 tahun pada pukul 11.41 malam.

“Polis turut mengingatkan orang ramai yang ingin memelihara anjing supaya mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan dan memastikan haiwan peliharaan dikawal rapi bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang,” katanya.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut dan kini ditempatkan di Wad Kanak-Kanak.

Pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah bertindak menangkap anjing berkenaan untuk siasatan lanjut termasuk pemeriksaan risiko penyakit seperti rabies.

Kes disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian dalam menjaga haiwan peliharaan, serta Seksyen 41(1) Akta Binatang 1953.

Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Insp Nursyaza Farhah Samhairi di talian 017-6919817 atau IPD Kajang di 03-89114222.

Anda Mungkin Berminat